Sokongan Emosi

Sokongan Emosi – “Sebagai seorang kaunselor berdaftar, saya menawarkan khidmat kaunseling kepada individu, pasangan (berkahwin) dan klien berkumpulan, secara bersemuka dan on line. Isu-isu psikologi dan emosi yang ditangani seperti stres, trauma, kemurungan, masalah pemakanan, kematian, kehilangan dan ditinggalkan, perasaan malu, buli, penderaan fizikal dan seksual. Saya menggunakan pendekatan integratif humanistik bagi membantu pertumbuhan keyakinan diri klien dalam menjalani cabaran kehidupan seharian.”

Sunday 5 October 2014

Trauma - Apa yang anda perlu tahu?


Trauma adalah keadaan badan atau minda yang diselubungi atau ditenggelami dengan peristiwa-peristiwa traumatik. Mangsa trauma akan rasa terasing dari masyarakat, tiada merasa apa-apa dan merasa diri dipencil. Selepas trauma ada yang menjadi seorang yang lebih penakut dan merasakan diri tidak selamat. Secara psikologi, trauma adalah tindakbalas fikiran terhadap peristiwa traumatik. Reaksi mangsa adalah berbeza-beza dan tanda-tanda trauma mungkin mengambil masa berminggu-minggu, berbulan-bulan atau bertahun-tahun untuk timbul. Trauma adalah reaksi yang tidak dijangka, tiada siapa bersedia, dan tiada apa dapat dilakukan untuk mengelaknya.
Antara penyebab-penyebab trauma adalah penderaan, kemalangan, kecederaan atau tumor otak, malapetaka, kecederaan fizikal, penyakit dalaman, ditinggalkan, dan juga keganasan.

Seperti stress, kita juga boleh mengetahui bahawa kita berkemungkinan mengalami trauma, antara simptom-simptomnya adalah:

  • Ulang tayang atau flashbacks: mengalami semula trauma di ingatan dan merasai semula kesakitan emosi;
  • Insomnia atau sukar untuk tidur: ada yang mengalami mimpi buruk atau teringat–ingat trauma hingga sukar tidur;
  • Risau: merasa selalu gelisah atau diserangan perasaan panik atau mengelabah;
  • Stres:  selepas trauma merasakan stres atau tekanan biasa, menjadi sesuatu yang sukar dikawal;
  • Rasa marah: terhadap penyebab trauma atau dunia. Marah itu sukar dikawal dan diuruskan;
  • Kemurungan: tertanya-tanya kenapa trauma berlaku kepadanya, tidak bermaya, dan bagi kes yang lebih teruk terfikir untuk membunuh diri;
  • Hilang harga diri: kurang percaya dan hilang keyakinan diri sehingga mula bertanya, “Siapa kita?" dan "Untuk apa kita dilahirkan?”;
  • Ambilan dadah: cara menghiburkan diri atau melupakan trauma dengan penggunaan dadah dan alkohol;
  • Perasaan terasing: tiada perasaan dan dingin dengan orang sekeliling.

Bilakah ketika anda memerlukan bantuan?

Menurut kajian, tidak kira berapa teruk sekali pun pengalaman traumatik yang dialami, ianya pasti dapat diatasi atau dikurangkan dengan bantuan profesional kaunselor. Oleh kerana kita bertindak balas berbeza-beza terhadap pengalaman trauma itu, elakkan membanding dengan pengalaman orang lain, walaupun ianya serupa. Dengan mendapatkan bantuan secepat mungkin, anda sebenarnya memberi peluang terbaik kepada diri untuk mengatasi trauma dan meneruskan hidup. Jika mengalami tanda-tanda yang di atas dan ianya berterusan selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan, pastikan anda mendapatkan bantuan. Lebih kritikal jika anda mula mengalami yang berikut:

  • Tidak dapat melakukan apa-apa tugasan atau aktiviti harian;
  • Tidak mampu menbentuk atau menjalin hubungan;
  • Dibawah pengaruh dadah dan/atau alkohol;
  • Menghadapi ulang tayang/flashbacks yang teruk;
  • Tiada perasaan atau emosi;
  • Mengalami kebimbangan/stress yang kronik.

No comments:

Post a Comment